Ahad, 22 April 2012

Aurat Wanita dari Firman Allah dan Hadis Nabi SAW

1. Bulu kening

- Menurut Bukhari, "Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening. HR Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)

- "Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." QS An-Nur: 31. Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian

- "Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." HR Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada

- "Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. " QS An-Nur : 3. Keterangan: Melabuhi tudung atau memakai tudung yang tidak menampakkan bentuk dada dan bahagian tepi tudung dibawah bahu.

5. Gigi

- "Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya. ". HR At-Thabrani.

- "Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah". HR Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher

- "Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu." Keterangan: Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan

- "Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." HR Muslim dan Bukhari.

8. Tangan

- "Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya". HR At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata

- "Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya." QS An Nur : 31.

- Sabda Nabi SAW, "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." HR Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara)

- "Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik." QS Al Ahzab: 32.

- Sabda SAW, "Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." HR Ibn Majah.

11. Kemaluan

- "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. " QS An Nur : 31.

- "Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." HR Al Bazzar.

- "Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." HR Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian

- "Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." HR Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.

- "Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." HR Bukhari dan Muslim. Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/ jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/ membuka bahagian-bahagian tertentu.

- "Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." QS Al Ahzab : 59.

13. Rambut

- "Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." HR Bukhari dan Muslim.

Patutkah Saya Berkahwin Awal?


Rasulullah s.a.w bersabda: Tiga perkara yang jangan dilambat-lambatkan, iaitu solat apabila telah masuk waktunya, jenazah apabila telah siap (urusan mandi dan kafan) dan anak gadis setelah ditemui (pasangan) yang sesuai untuknya. (H.R. Tirmidzi)

Kahwin awal bukan satu masalah. Mari lihat persoalan-persoalan yang selalu menerjah di kepala anak-anak muda yang fitrahnya terhalang atas sebab-sebab tertentu.

1. Kahwin waktu masih belajar, adakah tidak mengganggu pelajaran?

Siapa cakap kahwin waktu sedang belajar mengganggu? Salah tanggapan tu. Sepatutnya, kahwin awal lebih memberi kita semangat yang membara. Yelah, sudah ada pasangan yang halal dan akan sentiasa menyokong kita, mesti la lagi bersemangat mau belajar kan? Lagi satu, orang yang sudah kahwin ni akan berasa lebih bertanggungjawab dari sebelum kahwin. Sebab mereka tahu bahawa mereka punya pasangan untuk dijaga, jadi mereka pun akan berusaha untuk buat yang terbaik bagi pasangan mereka. Apa-apa pun, tengok ibu bapa kita saja sebagai contoh. Sudah kahwin, tapi adakah mengganggu kerja mereka? Tidak kan?

2. Saya masih belajar, macam mana mahu bagi nafkah pada isteri kalau belum ada kerja?

Saya tahu ramai antara kita yang masih belajar, dan ramai yang meminjam dapat elaun biasiswa. Saya beranggapan pasangan yang ingin dikahwini jugak masih study Jadi ia bermakna dua-dua masih dapat hidup dengan wang yang asas tu. Jadi, sementara masih belum ada kerja, suami berilah nafkah yang termampu kepada isteri. Mungkin $25 atau $50 sebulan? Bergantung kepada berapa banyak isteri gunakan untuk makan. Lagipun, isteri jugak ada wang, jadi tak perlu rasa ada masalah di situ. Yang penting dua-dua masih dapat hidup. Lain la kalau isteri demand kereta, rumah, rantai emas, baju berlambak-lambak, dan macam-macam lagi. Jadi, sepatutnya tiada masalah dalam bab nafkah. Cuba kita tengok orang Arab zaman Nabi dulu. Adakah kebanyakan daripada mereka orang berharta? Tidak. Mereka cuma mampu memberi isteri makan makanan setakat yang mereka mampu beri. Itu pun sudah mencukupi untuk dijadikan nafkah. Nabi tak larang pun orang miskin berkahwin. Jangan jadikan kekurangan wang sebagai penghalang perkahwinan. Itu namanya menyalahkan takdir Allah. Berdosa.

Firman Allah: Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui. (An-Nur:32)

3. Macam mana mahu cari modal untuk majlis perkahwinan?

Apa perkara asas dalam kahwin? Ya, akad nikah dan walimatul urus. Merisik dan bertunang tu bukan wajib pun. Jadi, potong kos seperti bagi hantaran waktu merisik dan bertunang, sudah jimat wang. Waktu akad nikah pun, jemputlah keluarga terdekat dengan kawan-kawan saja yang dapat datang. Berdosa bila tidak menghadiri jemputan walimatul urus. Jadi, jimat sikit kos kenduri. Buang wang saja sewa pelamin, sewa baju pengantin, sewa jurukamera dengan mak andam semua tu kerana ia termasuk dalam hal-hal yang sia-sia. Mas kahwin pun tidak perlu tinggi-tinggi kerana sebaik-baik magar adalah yang paling rendah. Mudah saja majlis perkahwinan dalam agama Islam. Tidak sampai puluh ribu pun.

Sabda Rasulullah s.a.w: Tiga golongan yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah s.w.t, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya. (H.R. Thabrani)

4. Tidak terlalu awalkah untuk saya berkahwin?

Kalau rasa dengan kahwin boleh buat semangat untuk belajar semakin meningkat, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh buat diri semakin bersemangat dalam agama, kahwin la. Kalau rasa kahwin boleh elak daripada fitnah dan maksiat, kahwin la. Itu maksudnya, kahwin memang perlu di usia muda. Benda yang baik, jangan dilambatkan. Takut kelak bertukar menjadi benda yang tidak baik. Cuba bayangkan anda ada pasangan yang disukai. Kan bagus kita cepatkan benda yang baik dengan berkahwin terus. Tapi kalau kita melambatkan perkahwinan yang bagus itu, mungkin kita akan terjerumus ke lembaah maksiat. Kenapa kita boleh beralasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan alasan untuk melakukan perkara yang haram? Tanya diri, jagalah iman.

Sabda Rasulullah s.a.w: Apabila datang kepadamu seorang laki-laki untuk meminang, yang engkau redha terhadap agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia. Bila tidak engkau lakukan maka akan terjadi fitnah di muka bumi dan akan timbul kerosakan yang merata di muka bumi. (H.R. Tirmidzi dan Ahmad)

5. Bersediakah saya untuk kahwin awal?

Ini soalan paling bagus ditanya kepada diri sendiri. Tanya dulu soalan asas ni. Sudahkah saya solat penuh 5 kali sehari semalam? Bertanggungjawab sudahkah saya? Adakah saya panas baran atau penyabar? Adakah saya seorang yang bercakap menggunakan akal atau bertindak menggunakan akal di lutut? Pendek kata, ada banyak soalan spesifik yang boleh ditanya kepada diri sendiri. Walau apa pun jawapan dia, ini nasihat saya. Sentiasalah perbaiki diri dan mantapkan diri. Orang yang sudah berkahwin dan sedang belajar solat lebih baik berbanding orang yang sudah kahwin dan pandai solat tapi tidak amalkannya lepas kahwin. Orang yang bersedia mengubah dirinya adalah yang paling bersedia sebenarnya.

6. Macam mana dengan restu ibu bapa?

Ya, ini la benda paling susah bila mahu kahwin awal. Faktor penghalang paling utama. Kalau kita dapat menjelaskan dengan baik kepada ibu bapa dan mereka faham, insyaAllah tiada masalah untuk berkahwin awal. Tapi kalau ibu bapa kita susah mahu terima sebab fikiran mereka masih terikat dengan fikiran tipikal masyarakat Melayu sekarang ni yang lebih terpengaruh kepada adat dan cerekarama di tv semata-mata, serta pemikiran risau akan tak cukup wang nak sara anak dara orang, sudah tentu mereka tidak akan terima setiap hujah yang diberikan seperti di atas. Apa-apa pun, saya doakan yang terbaik untuk mereka yang mahu kahwin awal supaya cepat bertemu jodoh. Ingat, bila seseorang itu berkahwin kerana ingin mengikut sunnah Rasulullah, maka terbukalah segala pintu rezeki untuknya. Lihat, betapa banyaknya kelebihan kahwin awal. Fikiran kita yang sempit saja membuatkan kahwin ni nampak terlalu susah sangat.

Umar bin al-Khattab r.a telah berkata: Kahwinlah anak-anak kamu apabila sampai baligh, janganlah kamu menanggung dosa-dosa mereka. (Disebut oleh Ibnu Jauzi dalam Ahkam An-Nisa)

Nasihat saya untuk golongan-golongan yang sedang hangat bercinta tu, sebaiknya kahwinlah awal. Lebih banyak kelebihan kahwin awal berbanding kahwin lambat. Tapi semua itu pilihan masing-masing juga. Mudah-mudahan setiap pilihan yang kita buat adalah yang terbaik dan dirahmati Allah. InsyaAllah.

Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang benci dengan cara hidup (sunnah) ku maka dia tidak termasuk golonganku. (H.R. Bukhari dan Muslim)
 — 

Selasa, 3 April 2012

Muslim Moden Perlu Jadikan Sifat Nabi Sebagai Pedoman

Jadual Harian Seorang Muslim Di Bulan Ramadhan

4.00 pagi Bangun
Berdoa kepad ALLAH dengan doa :
Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan
aku dan kepadaNYAlah aku akan dikembalikan. Berniatlah untuk melaksanakan
sebanyak-banyak kebaikan hari itu. Mandi dan membersihkan diri.
Mengambil wudhu dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.

4.20 pagi Solat Sunat Taubat
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala.
Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua
selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah
tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.

Solat Sunat Tahajjud
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud 2 rakaat kerana ALLAH
Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat
kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang,
angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.

Solat Sunat Hajat
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala.
Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali.
Selepas Al-Fatihah rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali. Ketika sujud
terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.

Solat Sunat Witir
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala.
Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat.
Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri,
meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita,
taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.

5.00 pagi Makan Sahur
Menggosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.

5.28 pagi Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat.
Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah.
Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.

7.00 pagi Membuat persiapan ke tempat kerja.
Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan doa kepada ALLAH
agar semua aktiviti kita diberkatiNYA. Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sama ada menyebutnya atau di hati.
Banyakkan istigfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh
bertanggungjawab. Datangkan rasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang di lakukan dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.


10.00 pagi Sembahyang Sunat Dhuha
Ia adalah sumber rezki yg berkat kalau istiqamah diamalkan.

Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat dhuha 2 rakaat kerana ALLAH Taala.
Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran.
Elakkan sungguh-sungguh dari melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yg sia-sia.

Contoh dosa-dosa : mengumpat mengutuk, menyindir yang menyakitkan orang,
bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan bukan muhrim
mengenai perkara yang tiada sangkut paut dgn kerja.


12.45 tgh Bersiap untuk solat Zohor.
Menunggu waktu bersembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah.
Laksanakan juga solat sunat Rawatib Bersujud. Syukur setelah selesai
sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg
memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.


4.15 ptg Bersedia untuk solat Asar.
Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah. Bersujud
syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima
kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.


5.30 ptg Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur
Tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu
masih ada dlm diri kita !!!


6.30 ptg Memperbanyakkan doa sebelum berbuka.
Kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda
Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya
lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.


Apabila masuk waktu magrib.
Bacalah doa dan berbuka :
Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman
dan dengan rezki engkaulah aku berbuka. Berbuka puasa dengan makanan
manis seperti buah kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib
berjemaah, setelah itu barulah makan makanan berat.


8.00 mlm Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Terawih.
Cuba pertahankan solat terawih walau bagaimana keadaan sekalipun kerana
fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya
baca dengan bertadarus ( berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang
lain menyemaknya), cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu
kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali
dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan)


11.00 mlm Memperbanyakkan istigfar sebelum tidur.
Berniatlah utk puasa esok hari dgn berniat : Sahaja aku berpuasa hari
esok untuk menunaikan puasa ramadhan yg wajib ke atasku , tahun ini kerana
ALLAH Taala. ( JANGAN LUPA!!!)
Tidur awal agar dapat bangun utk beribadah.
Bacalah doa sebelum tidur :
Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati
yg sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur

KEHIDUPAN YANG BAIK


1. Tanpa melihat latar belakang kerjaya atau bidang pendidikan, kehidupan seorang muslim adalah sama sebagai seorang hamba Allah SWT. Kehidupan ini adalah kehidupan biasa yang dilalui setiap hari. Kita mempunyai kewajipan harian seperti solat fardhu, kewajipan mingguan seperti solat Jumaat, kewajipan tahunan seperti puasa Ramadhan, dan juga kewajipan seumur hidup seperti ibadah haji.  

gambar hiasan



2. Sebenarnya dalam hidup seharian kita juga, ada beberapa tugas dan amalan yang perlu kita lakukan. Jika kita dapat lakukan dengan sempurna maka kita semakin meningkat ke arah yang lebih baik. Ia juga mampu meninggikan darjat dan memperteguhkan iman dalam berhadapan dengan tipu daya syaitan. Di antara tugas dan amalan tersebut ialah:
Istighfar
3. Setiap insan tidak sunyi dari kesalahan, maka wajib ke atasnya bertaubat kepada Allah SWT. Bertaubat maksudnya kembali kepada Allah SWT daripada segala dosa dan maksiat. Salah satu caranya ialah dengan beristighfar iaitu meminta keampunan daripada Allah SWT. Imam al-Nawawi (676H) membahagikan dosa dan maksiat kepada dua; iaitu maksiat kepada Allah dan maksiat sesama manusia. Hukum bertaubat adalah wajib, katanya:
Taubat itu hukumnya wajib daripada setiap maksiat yang dilakukan. (al-Nawawi, Riyadh al-Solihin)

4. Nabi SAW yang ma’sum iaitu terpelihara daripada dosa pun masih tetap beristighfar setiap hari sebanyak tujuh puluh kali. Dalam hidup nabi SAW, istighfar ini adalah amalan hariannya yang tidak pernah ditinggalkan, sama ada setiap kali lepas solat atau selepas keluar daripada bilik air. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa:
Nabi SAW ketika keluar daripada bilik air akan menyebut ghufranaka (keampunanMu ya Allah). (Riwayat al-Tirmizi).

5. Nabi SAW juga mengajar kepada para sahabat agar sentiasa beristighfar dengansaiyidu (penghulu) al-istighfar setiap pagi dan petang. Diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus RA bahawa nabi SAW bersabda:
Saiyidu al-istighfar ialah kamu menyebut:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ
وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ
وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Barangsiapa yang menyebutnya pada waktu siang dengan keyakinan terhadapnya lalu mati pada hari tersebut sebelum waktu petang maka dia adalah daripada ahli syurga. Dan sesiapa yang menyebutnya pada waktu malam dengan yakin terhadapnya lalu mati sebelum waktu pagi maka dia adalah daripada ahli syurga. (Riwayat al-Bukhari)
6. Demikianlah kita melihat amalan ibadah ini merupakan rutin harian nabi SAW dan para sahabat RA. Maka sepatutnya ia menjadi amalan harian kita juga sebagai seorang muslim. Ia adalah gambaran iman yang sentiasa hidup dan subur yang boleh mendekatkan diri kita kepada al-Khaliq Azza wa Jalla.
Membaca al-Qur’an
7. Amalan harian bagi seorang muslim juga ialah membaca beberapa ayat al-Qur’an. Ia boleh dianggap sebagai amalan asasi dan utama. Kerana al-Qur’an merupakan kitab petunjuk dan dustur Rabbani yang kekal dan tidak pernah berubah. Firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat 20 berkamsud:
Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah Yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari al-Quran.

8. Di samping itu, membaca al-Quran bakal mendapat ganjaran yang besar daripada Allah Azza wa Jalla. Inilah janji Allah SWT kepada pembaca al-Qur’an. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan bersamaan dengan sepuluh kali ganda yang sama dengannya. Aku tidak menyebut Alif Lam Mim satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi).

9. Membaca al-Qur’an menunjukkan hatinya sentiasa hidup dengan cahaya Ilahi. Jiwa insan yang tidak membaca al-Qur’an adalah seperti rumah yang kosong dan binasa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya orang yang rongganya tidak ada suatu pun daripada al-Qur’an maka ia seumpama rumah yang binasa. (Riwayat Tirmizi)

10. Mengingati pesanan Dr. Solah Abd al-Fattah al-Khalidi ketika memberikan kuliah kepada kami  mahasiswa/wi Amman pada awal bulan Mac beberapa minggu yang lalu, beliau mengingatkan kami agar menjaga beberapa perkara berikut:
i)      mencintai al-Qur’an dengan sebenarnya
ii)     membaca al-Qur’an setiap hari
iii)    memahami al-Qur’an melalui tafsirnya
iv)   melaksanakan hukum-hakam al-Qur’an
v)    menyeru manusia kepada al-Qur’an
vi)   menghadapi musuh dengan al-Qur’an

Bersedekah
11. Dalam kehidupan harian juga, kita perlu bersedekah daripada harta yang kita ada. Bagi yang menyangka bahawa bersedekah hanya ketika ada orang meminta sahaja, maka ia satu kesilapan. Nabi SAW telah menunjukkan bahawa bersedekah adalah amalan dan ibadah harian sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Tiadalah satu hari yang dilalui oleh seorang hamba melainkan dua malaikat akan turun lalu berkata salah satu daripada mereka: Ya Allah berilah gantian kepada yang menginfakkan hartanya. Dan berkatalah yang lain: Ya Allah berilah kebinasaan kepada yang memegang (kedekut) akan hartanya. (Riwayat al-Bukhari)   

12. Bersedekah mampu menghilangkan sifat bakhil dan kedekut. Yang penting lakukan dengan ikhlas bukan untuk menunjuk-nunjuk atau riya’. Bersedekah dengan ikhlas ini menjadikan kita beruntung pada hari akhirat nanti. Firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 22 bermaksud:
Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat   

13. Bahkan kita dapati galakan bersedekah ini hingga sampai ke satu tahap tidak penting apa yang kita sedekahkan, tetapi yang penting ialah perbuatan bersedekah itu sendiri. Sedikit atau banyak bukan persoalannya, biarpun apa yang kita berikan langsung tidak menyebabkan penerimanya menjadi kaya, atau makanan yang kita sedekahkan langsung tidak mengenyangkan, namun kita tetap dituntut untuk bersedekah. Ini yang boleh kita faham daripada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Adiy bin Hatim bahawa dia mendengar nabi SAW bersabda:
Takutlah kepada api neraka walau dengan hanya separuh tamar. (Riwayat al-Bukhari)

14. Apalah yang ada dengan separuh biji tamar? Terlalu sedikit dan kecil, langsung tidak mengenyangkan bukan sahaja pada zaman sekarang, tetapi juga pada zaman nabi SAW. Namun yang lebih utama adalah membudayakan amalan bersedekah dalam diri kita setiap hari. Peruntukkan harta kita untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Pastikan ia adalah yang paling elok bukannya yang buruk dan lusuh!
15. Oleh itu, jadikanlah kehidupan seharian kita sebagai kehidupan seorang muslim yang mengikut ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Kita perlu menjadi muslim dua puluh empat jam bermula dari bangun pagi waktu Subuh hinggalah bangun semula keesokannya, bukannya Muslim sepuluh jam atau dua belas jam sahaja. Barulah layak untuk mendapat kehidupan yang baik sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 97 bermaksud:
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

16. Kesimpulannya, kita perlu mendapatkan kehidupan yang baik. Tetapi ia tidak dapat secara percuma melainkan selepas mencukupi syarat-syaratnya.


Anhar Opir
10 Jumada al-Ula 1433H  
Sweileh, Amman