Selasa, 3 April 2012

KEHIDUPAN YANG BAIK


1. Tanpa melihat latar belakang kerjaya atau bidang pendidikan, kehidupan seorang muslim adalah sama sebagai seorang hamba Allah SWT. Kehidupan ini adalah kehidupan biasa yang dilalui setiap hari. Kita mempunyai kewajipan harian seperti solat fardhu, kewajipan mingguan seperti solat Jumaat, kewajipan tahunan seperti puasa Ramadhan, dan juga kewajipan seumur hidup seperti ibadah haji.  

gambar hiasan



2. Sebenarnya dalam hidup seharian kita juga, ada beberapa tugas dan amalan yang perlu kita lakukan. Jika kita dapat lakukan dengan sempurna maka kita semakin meningkat ke arah yang lebih baik. Ia juga mampu meninggikan darjat dan memperteguhkan iman dalam berhadapan dengan tipu daya syaitan. Di antara tugas dan amalan tersebut ialah:
Istighfar
3. Setiap insan tidak sunyi dari kesalahan, maka wajib ke atasnya bertaubat kepada Allah SWT. Bertaubat maksudnya kembali kepada Allah SWT daripada segala dosa dan maksiat. Salah satu caranya ialah dengan beristighfar iaitu meminta keampunan daripada Allah SWT. Imam al-Nawawi (676H) membahagikan dosa dan maksiat kepada dua; iaitu maksiat kepada Allah dan maksiat sesama manusia. Hukum bertaubat adalah wajib, katanya:
Taubat itu hukumnya wajib daripada setiap maksiat yang dilakukan. (al-Nawawi, Riyadh al-Solihin)

4. Nabi SAW yang ma’sum iaitu terpelihara daripada dosa pun masih tetap beristighfar setiap hari sebanyak tujuh puluh kali. Dalam hidup nabi SAW, istighfar ini adalah amalan hariannya yang tidak pernah ditinggalkan, sama ada setiap kali lepas solat atau selepas keluar daripada bilik air. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA bahawa:
Nabi SAW ketika keluar daripada bilik air akan menyebut ghufranaka (keampunanMu ya Allah). (Riwayat al-Tirmizi).

5. Nabi SAW juga mengajar kepada para sahabat agar sentiasa beristighfar dengansaiyidu (penghulu) al-istighfar setiap pagi dan petang. Diriwayatkan daripada Syaddad bin Aus RA bahawa nabi SAW bersabda:
Saiyidu al-istighfar ialah kamu menyebut:
اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ
وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ
وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Barangsiapa yang menyebutnya pada waktu siang dengan keyakinan terhadapnya lalu mati pada hari tersebut sebelum waktu petang maka dia adalah daripada ahli syurga. Dan sesiapa yang menyebutnya pada waktu malam dengan yakin terhadapnya lalu mati sebelum waktu pagi maka dia adalah daripada ahli syurga. (Riwayat al-Bukhari)
6. Demikianlah kita melihat amalan ibadah ini merupakan rutin harian nabi SAW dan para sahabat RA. Maka sepatutnya ia menjadi amalan harian kita juga sebagai seorang muslim. Ia adalah gambaran iman yang sentiasa hidup dan subur yang boleh mendekatkan diri kita kepada al-Khaliq Azza wa Jalla.
Membaca al-Qur’an
7. Amalan harian bagi seorang muslim juga ialah membaca beberapa ayat al-Qur’an. Ia boleh dianggap sebagai amalan asasi dan utama. Kerana al-Qur’an merupakan kitab petunjuk dan dustur Rabbani yang kekal dan tidak pernah berubah. Firman Allah SWT dalam surah al-Muzammil ayat 20 berkamsud:
Sesungguhnya Tuhanmu (wahai Muhammad) mengetahui bahawasanya engkau bangun (tahajjud) selama kurang dari dua pertiga malam, dan selama satu perduanya, dan selama satu pertiganya; dan segolongan dari orang-orang yang bersama-samamu (kerana hendak menepati perintah Yang terdahulu); padahal Allah jualah yang menentukan dengan tepat kadar masa malam dan siang. Dia mengetahui bahawa kamu tidak sekali-kali akan dapat mengira dengan tepat kadar masa itu, lalu Dia menarik balik perintahNya yang terdahulu (dengan memberi kemudahan) kepada kamu; oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari al-Quran.

8. Di samping itu, membaca al-Quran bakal mendapat ganjaran yang besar daripada Allah Azza wa Jalla. Inilah janji Allah SWT kepada pembaca al-Qur’an. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:
Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan bersamaan dengan sepuluh kali ganda yang sama dengannya. Aku tidak menyebut Alif Lam Mim satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf, dan Mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi).

9. Membaca al-Qur’an menunjukkan hatinya sentiasa hidup dengan cahaya Ilahi. Jiwa insan yang tidak membaca al-Qur’an adalah seperti rumah yang kosong dan binasa. Diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA bahawa nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya orang yang rongganya tidak ada suatu pun daripada al-Qur’an maka ia seumpama rumah yang binasa. (Riwayat Tirmizi)

10. Mengingati pesanan Dr. Solah Abd al-Fattah al-Khalidi ketika memberikan kuliah kepada kami  mahasiswa/wi Amman pada awal bulan Mac beberapa minggu yang lalu, beliau mengingatkan kami agar menjaga beberapa perkara berikut:
i)      mencintai al-Qur’an dengan sebenarnya
ii)     membaca al-Qur’an setiap hari
iii)    memahami al-Qur’an melalui tafsirnya
iv)   melaksanakan hukum-hakam al-Qur’an
v)    menyeru manusia kepada al-Qur’an
vi)   menghadapi musuh dengan al-Qur’an

Bersedekah
11. Dalam kehidupan harian juga, kita perlu bersedekah daripada harta yang kita ada. Bagi yang menyangka bahawa bersedekah hanya ketika ada orang meminta sahaja, maka ia satu kesilapan. Nabi SAW telah menunjukkan bahawa bersedekah adalah amalan dan ibadah harian sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda:
Tiadalah satu hari yang dilalui oleh seorang hamba melainkan dua malaikat akan turun lalu berkata salah satu daripada mereka: Ya Allah berilah gantian kepada yang menginfakkan hartanya. Dan berkatalah yang lain: Ya Allah berilah kebinasaan kepada yang memegang (kedekut) akan hartanya. (Riwayat al-Bukhari)   

12. Bersedekah mampu menghilangkan sifat bakhil dan kedekut. Yang penting lakukan dengan ikhlas bukan untuk menunjuk-nunjuk atau riya’. Bersedekah dengan ikhlas ini menjadikan kita beruntung pada hari akhirat nanti. Firman Allah SWT dalam surah al-Ra’d ayat 22 bermaksud:
Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredhaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan solat, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat   

13. Bahkan kita dapati galakan bersedekah ini hingga sampai ke satu tahap tidak penting apa yang kita sedekahkan, tetapi yang penting ialah perbuatan bersedekah itu sendiri. Sedikit atau banyak bukan persoalannya, biarpun apa yang kita berikan langsung tidak menyebabkan penerimanya menjadi kaya, atau makanan yang kita sedekahkan langsung tidak mengenyangkan, namun kita tetap dituntut untuk bersedekah. Ini yang boleh kita faham daripada sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Adiy bin Hatim bahawa dia mendengar nabi SAW bersabda:
Takutlah kepada api neraka walau dengan hanya separuh tamar. (Riwayat al-Bukhari)

14. Apalah yang ada dengan separuh biji tamar? Terlalu sedikit dan kecil, langsung tidak mengenyangkan bukan sahaja pada zaman sekarang, tetapi juga pada zaman nabi SAW. Namun yang lebih utama adalah membudayakan amalan bersedekah dalam diri kita setiap hari. Peruntukkan harta kita untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Pastikan ia adalah yang paling elok bukannya yang buruk dan lusuh!
15. Oleh itu, jadikanlah kehidupan seharian kita sebagai kehidupan seorang muslim yang mengikut ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Kita perlu menjadi muslim dua puluh empat jam bermula dari bangun pagi waktu Subuh hinggalah bangun semula keesokannya, bukannya Muslim sepuluh jam atau dua belas jam sahaja. Barulah layak untuk mendapat kehidupan yang baik sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT dalam surah al-Nahl ayat 97 bermaksud:
Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.

16. Kesimpulannya, kita perlu mendapatkan kehidupan yang baik. Tetapi ia tidak dapat secara percuma melainkan selepas mencukupi syarat-syaratnya.


Anhar Opir
10 Jumada al-Ula 1433H  
Sweileh, Amman

Tiada ulasan:

Catat Ulasan